Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Khamis, Februari 3

Kumpulan pertama 356 pelajar Malaysia di Mesir selamat tiba di Jeddah

Sumber:http://utusan.com.my

04/02/2011 10:12am



JEDDAH 4 Feb. - Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir hari ini berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 orang pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).
Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS, Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang berkata, MAS menggunakan pesawat itu bagi memaksimumkan jumlah pelajar dan rakyat Malaysia untuk dibawa keluar dari Kaherah ke Jeddah.
"Pesawat ini mampu ulang alik sebanyak tiga kali dalam sehari. Pun begitu, hari pertama kita tidaklah terlalu sukar (untuk mendarat di Kaherah) dan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, suasana ceria jelas terpancar di wajah pelajar-pelajar yang berjaya dibawa keluar dari Kaherah.
Ada antara mereka yang menangis, tertawa dan ada juga yang sibuk dengan telefon bimbit masing-masing menghubungi ibu bapa untuk memaklumkan keadaan terkini mereka.
Haslisah Khalil, 19, pelajar ijazah jurusan perubatan di Universiti Ainshams berkata, beliau bersyukur di atas keprihatinan kerajaan Malaysia yang mengambil inisiatif membawa mereka pulang.
"Gembiralah... sebab keadaan amat menakutkan saya walaupun telah diberikan perintah berkurung oleh pengurusan Rumah Negeri Selangor. Kami hanya boleh keluar selepas pukul 1 tengah hari. Itu pun dengan secepat mungkin.
"Perintah berkurung yang dikenakan ke atas kami bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari. Waktu itu kami manfaatkan membeli barangan asas seperti roti dan gula. Waktu itu juga, kami terpaksa berebut-rebut dengan wanita Arab,” katanya yang kini berada di tahun satu jurusan tersebut.
Mohd Shauqi Ismail, 26, yang berasal dari Melaka berkata, tindakan kerajaan membantu warganya dalam kesusahan termasuk di luar negara membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dan bertanggungjawab.
"Saya rasa bersyukur dan gembira hari ini. Sama ada bantuan tiba menerusi kapal terbang ke, kapal ke, apa yang penting ialah keselamatan kita. Jadi kita tak kira apa pun yang datang selamatkan kita,” katanya.
Pelajar tahun satu jurusan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar itu turut ditemani isteri yang juga menuntut di universiti itu dan anaknya berusia dua tahun.
Kesemua pelajar tersebut kini ditempatkan sementara di asrama Tabung Haji di sini.
Pemindahan pelajar selain menggunakan pesawat milik MAS, ia juga turut mendapat kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.
Sejak 28 Januari lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. - Bernama


Inilah peswat yang memindhkan pelajar Malaysia di Mesir  ke Jeddah

Rabu, Februari 2

ElBaradei tak berhasrat jadi Presiden

Sumber:Utusan Malaysia Orline

KAHERAH 1 Feb. – Reformis Mesir, Mohamed ElBaradei hari ini berkata, beliau tidak berhasrat menjadi Presiden Mesir tetapi sedia mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya dilaksanakan sekiranya itu yang dimahukan rakyat.
“Sekiranya rakyat sebulat suara mahu saya mengetuai kerajaan sementara, saya sedia melakukannya,” kata aktivis demokrasi itu kepada akhbar Britain, The Independent hari ini.
Elbaradei yang muncul sebagai tokoh pemimpin pembangkang utama Mesir turut mengulangi desakan supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan jika mahu selamat.
“Apabila sesuatu rejim mengundurkan polis dari jalan-jalan, apabila pasukan polis dicemari samseng, cuba memberi gambaran bahawa tanpa Mubarak negara akan bergolak, ini adalah satu tindakan jenayah. Seseorang perlu bertanggungjawab.
“Orang ramai kini bukan sahaja menuntut pengunduran Mubarak. Mereka mahu beliau dibicarakan. Sekiranya beliau mahu selamat, Mubarak perlu berundur menjelang hari Jumaat ini,” katanya.
Sementara itu, Parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada perjuangan ElBaradei dan menyokong pemimpin pembangkang itu bagi mengetuai kerajaan perpaduan Mesir.
Parti tersebut menerusi kenyataan yang dibuat di laman webnya hari ini berkata, ia juga tidak mahukan jawatan kepimpinan dalam kerajaan baru nanti, sebaliknya hanya akan memberi sokongan kepada kepimpinan akan datang.
“Kemahuan kami adalah kehendak rakyat. Kita perlukan satu rejim baru sekarang.
“Kami menghormati Elbaradei. Beliau adalah individu paling berpotensi untuk mencapai hasrat ini,” kata ketua cawangan Ikhwanul Muslimin di utara Kaherah, Helmi Gazzar.
Ikhwanul Muslimin dalam pada itu berkata, pihaknya kini sedang berbincang untuk menubuhkan satu jawatankuasa politik dengan Elbaradei bagi rundingan dengan pihak tentera.
Parti itu malam tadi turut menyeru tunjuk perasaan diteruskan di seluruh negara sehingga Mubarak tunduk kepada desakan meletak jawatan. – AFP/Agensi



PARA ulama (berserban) menyertai ribuan rakyat Mesir berkumpul di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam. – AFP

Isnin, November 22

Arab Saudi belum beri visa pada Linda Agum

Sumber: Utusan Malaysia Online



JAKARTA 22 Nov. – Menteri Kebajikan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia, Linda Agum Gumelar berkata, permohonannya untuk mendapatkan visa ke Arab Saudi bagi menyiasat kes dera seorang pembantu rumah warga Indonesia, masih belum diluluskan.
Linda mengetuai pasukan antara menteri bagi mencari keadilan untuk Sumiati binti Salan Mustapa, 23, selepas kecederaan yang dialami pembantu rumah itu mendedahkan ia kes penderaan pekerja asing di Asia Barat.
“Visa masuk ke negara itu bukan sahaja perlu diluluskan Kedutaan Arab Saudi di Indonesia tetapi juga oleh pihak berkuasa di sana.
“Kita tidak boleh berfikiran negatif. Saya dimaklumkan kerajaan Arab Saudi masih belum meluluskan visa saya untuk masuk (ke Arab Saudi) kerana negara itu bercuti dan pejabat hanya mula dibuka hari ini,” katanya.
Namun, beliau mengesahkan permohonan visa beberapa anggota pasukannya untuk ke Arab Saudi telah diluluskan.
“Beberapa ahli pasukan saya telah berlepas ke negara itu dan kami sering berhubung. Saya juga telah berjumpa dengan Duta Arab Saudi yang berjanji akan membantu mempercepat proses kelulusan visa saya,” jelasnya.
Linda diarahkan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk mengetuai sebuah pasukan bagi mendapatkan keadilan bagi Sumiati, yang mengalami penderaan kejam, sekali gus melambangkan pahit getir yang dialami pekerja asing di rantau tersebut.
Beliau dijangka melawat pembantu rumah itu di sebuah hospital di Madinah, lokasi Sumiati menjalani rawatan sejak 8 November lalu akibat luka dalam di bibir serta bahagian muka yang didakwa ditoreh dengan gunting.
Amnesty International baru-baru ini meminta Arab Saudi dan negara-negara teluk supaya melaksanakan langkah lebih ketat bagi melindungi pekerja asing yang bekerja di negara kaya dengan minyak itu.
Pemerhati hak asasi manusia yang beribu pejabat di New York itu berkata, layanan terhadap pembantu rumah tersebut disifatkan Susilo sebagai ‘penderaan kejam’. – Agensi


Inilah gambar Linda Agum-Menteri kebajikan wanita dan perlindungan Kanak-kanak Indonesia
Related Posts with Thumbnails

pergi haji

Makkah and Madinah