Isnin, November 22

Arab Saudi belum beri visa pada Linda Agum

Sumber: Utusan Malaysia Online



JAKARTA 22 Nov. – Menteri Kebajikan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia, Linda Agum Gumelar berkata, permohonannya untuk mendapatkan visa ke Arab Saudi bagi menyiasat kes dera seorang pembantu rumah warga Indonesia, masih belum diluluskan.
Linda mengetuai pasukan antara menteri bagi mencari keadilan untuk Sumiati binti Salan Mustapa, 23, selepas kecederaan yang dialami pembantu rumah itu mendedahkan ia kes penderaan pekerja asing di Asia Barat.
“Visa masuk ke negara itu bukan sahaja perlu diluluskan Kedutaan Arab Saudi di Indonesia tetapi juga oleh pihak berkuasa di sana.
“Kita tidak boleh berfikiran negatif. Saya dimaklumkan kerajaan Arab Saudi masih belum meluluskan visa saya untuk masuk (ke Arab Saudi) kerana negara itu bercuti dan pejabat hanya mula dibuka hari ini,” katanya.
Namun, beliau mengesahkan permohonan visa beberapa anggota pasukannya untuk ke Arab Saudi telah diluluskan.
“Beberapa ahli pasukan saya telah berlepas ke negara itu dan kami sering berhubung. Saya juga telah berjumpa dengan Duta Arab Saudi yang berjanji akan membantu mempercepat proses kelulusan visa saya,” jelasnya.
Linda diarahkan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk mengetuai sebuah pasukan bagi mendapatkan keadilan bagi Sumiati, yang mengalami penderaan kejam, sekali gus melambangkan pahit getir yang dialami pekerja asing di rantau tersebut.
Beliau dijangka melawat pembantu rumah itu di sebuah hospital di Madinah, lokasi Sumiati menjalani rawatan sejak 8 November lalu akibat luka dalam di bibir serta bahagian muka yang didakwa ditoreh dengan gunting.
Amnesty International baru-baru ini meminta Arab Saudi dan negara-negara teluk supaya melaksanakan langkah lebih ketat bagi melindungi pekerja asing yang bekerja di negara kaya dengan minyak itu.
Pemerhati hak asasi manusia yang beribu pejabat di New York itu berkata, layanan terhadap pembantu rumah tersebut disifatkan Susilo sebagai ‘penderaan kejam’. – Agensi


Inilah gambar Linda Agum-Menteri kebajikan wanita dan perlindungan Kanak-kanak Indonesia
Related Posts with Thumbnails

pergi haji

Makkah and Madinah