Rabu, Februari 2

ElBaradei tak berhasrat jadi Presiden

Sumber:Utusan Malaysia Orline

KAHERAH 1 Feb. – Reformis Mesir, Mohamed ElBaradei hari ini berkata, beliau tidak berhasrat menjadi Presiden Mesir tetapi sedia mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya dilaksanakan sekiranya itu yang dimahukan rakyat.
“Sekiranya rakyat sebulat suara mahu saya mengetuai kerajaan sementara, saya sedia melakukannya,” kata aktivis demokrasi itu kepada akhbar Britain, The Independent hari ini.
Elbaradei yang muncul sebagai tokoh pemimpin pembangkang utama Mesir turut mengulangi desakan supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan jika mahu selamat.
“Apabila sesuatu rejim mengundurkan polis dari jalan-jalan, apabila pasukan polis dicemari samseng, cuba memberi gambaran bahawa tanpa Mubarak negara akan bergolak, ini adalah satu tindakan jenayah. Seseorang perlu bertanggungjawab.
“Orang ramai kini bukan sahaja menuntut pengunduran Mubarak. Mereka mahu beliau dibicarakan. Sekiranya beliau mahu selamat, Mubarak perlu berundur menjelang hari Jumaat ini,” katanya.
Sementara itu, Parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada perjuangan ElBaradei dan menyokong pemimpin pembangkang itu bagi mengetuai kerajaan perpaduan Mesir.
Parti tersebut menerusi kenyataan yang dibuat di laman webnya hari ini berkata, ia juga tidak mahukan jawatan kepimpinan dalam kerajaan baru nanti, sebaliknya hanya akan memberi sokongan kepada kepimpinan akan datang.
“Kemahuan kami adalah kehendak rakyat. Kita perlukan satu rejim baru sekarang.
“Kami menghormati Elbaradei. Beliau adalah individu paling berpotensi untuk mencapai hasrat ini,” kata ketua cawangan Ikhwanul Muslimin di utara Kaherah, Helmi Gazzar.
Ikhwanul Muslimin dalam pada itu berkata, pihaknya kini sedang berbincang untuk menubuhkan satu jawatankuasa politik dengan Elbaradei bagi rundingan dengan pihak tentera.
Parti itu malam tadi turut menyeru tunjuk perasaan diteruskan di seluruh negara sehingga Mubarak tunduk kepada desakan meletak jawatan. – AFP/Agensi



PARA ulama (berserban) menyertai ribuan rakyat Mesir berkumpul di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam. – AFP

Related Posts with Thumbnails

pergi haji

Makkah and Madinah